Pengumuman KTMB: GANGGUAN PERKHIDMATAN TREN DI STESEN KUALA LUMPUR

GANGGUAN PERKHIDMATAN TREN DI STESEN KUALA LUMPUR

Kuala Lumpur, 16 Julai 2011 – Semua perkhidmatan tren yang melalui Stesen Kuala Lumpur akan mengalami gangguan ekoran insiden kren terbalik di platfom 4, Stesen Kuala Lumpur di kilometer 387.358 dekat sini, hari ini.

Insiden ini melibatkan kren seberat 60 tan yang sedang melakukan kerja-kerja menanggalkan iklan dan tiang ‘unipole’ oleh kontraktor yang dilantik oleh GANAD Media Sdn Bhd berhampiran platform 4, Stesen Kuala Lumpur. Kren ini gagal menstabilkan kedudukan lalu jatuh merintang ke atas bumbung dan kabel elektrifikasi di platform 4, 3 dan 2 Stesen Kuala Lumpur pada jam 12.44 pagi hari ini. Insiden ini telah menyebabkan laluan di platform 4, 3 dan 2 tidak boleh dilalui oleh tren dan hanya laluan di platform 1 yang bebas dari halangan.

Tiada sebarang kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku. Akibat dari insiden tersebut, beberapa perkhidmatan KTM Berhad telah mengalami gangguan iaitu:

Perkhidmatan KTM Komuter : Perkhidmatan bas disediakan bermula jam 6.00 pagi bagi memindahkan penumpang dari laluan Bank Negara – Kuala Lumpur – KL Sentral dan sebaliknya untuk meneruskan perjalanan ke semua hala yang melalui Stesen Kuala Lumpur. Perkhidmatan bas akan beroperasi sehingga waktu perkhidmatan terakhir iaitu kira-kira jam 11.45 malam.

Perkhidmatan KTM Kargo dan KTM Intercity : Tren akan beroperasi menggunakan satu aliran iaitu menggunakan laluan di platform 1 sahaja dan tren akan diperlahankan apabila melalui kawasan insiden. Dijangka akan berlaku kelewatan ketibaan dan berlepas antara 30 minit hingga satu jam.

Perkhidmatan ETS                   : Perkhidmatan bagi laluan KL Sentral – Ipoh akan bermula dan tamat di Stesen Sentul manakala bagi perkhidmatan Seremban – Ipoh, perkhidmatan akan ditamatkan di Stesen KL Sentral dan pengguna akan meneruskan perjalanan dari Stesen Sentul. Pengguna ETS boleh menaiki bas yang disediakan untuk ke Stesen bank Negara dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Stesen Sentul dengan menggunakan perkhidmatan KTM Komuter. Mereka tidak perlu membeli tiket KTM Komuter dan hanya perlu menunjukkan tiket ETS untuk pengesahan.

Kerja-kerja pengalihan struktur, pembersihan dan pemasangan semula kabel-kabel yang rosak dijangka akan mengambil masa selama dua hari. Perkhidmatan dijangka kembali pulih sepenuhnya pada hari Isnin, 18 Julai 2011.

Insiden yang berlaku adalah sepenuhnya berpunca dari kesalahan pihak ketiga. Sebarang perkembangan terbaharu akan dimaklumkan dari masa ke masa.

KTM Berhad memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB  di 1-300-88-5862 atau laman sesawangwww.ktmb.com.my.

Sumber: Laman web rasmi KTMB (www.ktmb.com.my)