RapidKuantan bakal dilancarkan

[14 November 2012] RapidKuantan dijangka akan memulakan operasi pada 1 Disember nanti.

Menurut Encik Zohari Sulaiman, Pengarah Divisyen Bas, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), kebanyakan warga kerja RapidKuantan menerima maklum balas positif daripada orang ramai walaupun perkhidmatan tersebut masih lagi belum dilancarkan. Kerja-kerja pengubahsuaian pejabat dan menaik taraf depoh bas di Semambu sedang giat dijalankan.

Menurut maklumat yang dipaparkan di laman web RapidKL, untuk fasa pertama, berkuatkuasa 1 Disember ini, RapidKuantan akan menyediakan perkhidmatan untuk tiga laluan : Terminal Makmur – Kolej Komuniti Gambang; Indera Mahkota 2 –Teluk Cempedak melalui Terminal Makmur ; dan Kompleks Mahkamah – Polisas Semambu melalui Terminal Makmur dengan menggunakan 32 bas. Laluan-laluan tambahan akan dibuat menjelang pertengahan tahun depan berdasarkan kepada input daripada Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Kuantan; dengan persetujuan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

sumber: Laman web RapidKL