Hari Bebas Kereta – Kupon Transit Sehala Diedarkan untuk Orang Ramai

KUALA LUMPUR (20 SEPTEMBER 2011) – 150 000 kupon transit sehala diedarkan kepada orang ramai. Kupon tersebut, yang boleh digunakan untuk LRT dan juga KL Monorail akan diberi pada hari Sabtu, Ahad dan hari kelepasan umum bermula 22 September bersempena dengan Hari Bebas Kereta Sedunia

Menurut pengerusi Prasarana (SPNB), Tan Sri Ismail Adam, hal ini bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke udara dan juga menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam.

sumber

LANDASAN – pastinya tidak kurang bilangan masyarakat yang berpandangan negatif terhadap langkah SPNB memberi pas percuma ini. Namun begitu, proses menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam bukanlah sesuatu yang mudah. Peningkatan mutu perkhidmatan juga perlu diambil kira agar orang ramai menjadi bertambah selesa menggunakan pengangkutan awam.

Pengumuman KTMB: GANGGUAN PERKHIDMATAN TREN DI STESEN KUALA LUMPUR

GANGGUAN PERKHIDMATAN TREN DI STESEN KUALA LUMPUR

Kuala Lumpur, 16 Julai 2011 – Semua perkhidmatan tren yang melalui Stesen Kuala Lumpur akan mengalami gangguan ekoran insiden kren terbalik di platfom 4, Stesen Kuala Lumpur di kilometer 387.358 dekat sini, hari ini.

Insiden ini melibatkan kren seberat 60 tan yang sedang melakukan kerja-kerja menanggalkan iklan dan tiang ‘unipole’ oleh kontraktor yang dilantik oleh GANAD Media Sdn Bhd berhampiran platform 4, Stesen Kuala Lumpur. Kren ini gagal menstabilkan kedudukan lalu jatuh merintang ke atas bumbung dan kabel elektrifikasi di platform 4, 3 dan 2 Stesen Kuala Lumpur pada jam 12.44 pagi hari ini. Insiden ini telah menyebabkan laluan di platform 4, 3 dan 2 tidak boleh dilalui oleh tren dan hanya laluan di platform 1 yang bebas dari halangan.

Tiada sebarang kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku. Akibat dari insiden tersebut, beberapa perkhidmatan KTM Berhad telah mengalami gangguan iaitu:

Perkhidmatan KTM Komuter : Perkhidmatan bas disediakan bermula jam 6.00 pagi bagi memindahkan penumpang dari laluan Bank Negara – Kuala Lumpur – KL Sentral dan sebaliknya untuk meneruskan perjalanan ke semua hala yang melalui Stesen Kuala Lumpur. Perkhidmatan bas akan beroperasi sehingga waktu perkhidmatan terakhir iaitu kira-kira jam 11.45 malam.

Perkhidmatan KTM Kargo dan KTM Intercity : Tren akan beroperasi menggunakan satu aliran iaitu menggunakan laluan di platform 1 sahaja dan tren akan diperlahankan apabila melalui kawasan insiden. Dijangka akan berlaku kelewatan ketibaan dan berlepas antara 30 minit hingga satu jam.

Perkhidmatan ETS                   : Perkhidmatan bagi laluan KL Sentral – Ipoh akan bermula dan tamat di Stesen Sentul manakala bagi perkhidmatan Seremban – Ipoh, perkhidmatan akan ditamatkan di Stesen KL Sentral dan pengguna akan meneruskan perjalanan dari Stesen Sentul. Pengguna ETS boleh menaiki bas yang disediakan untuk ke Stesen bank Negara dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Stesen Sentul dengan menggunakan perkhidmatan KTM Komuter. Mereka tidak perlu membeli tiket KTM Komuter dan hanya perlu menunjukkan tiket ETS untuk pengesahan.

Kerja-kerja pengalihan struktur, pembersihan dan pemasangan semula kabel-kabel yang rosak dijangka akan mengambil masa selama dua hari. Perkhidmatan dijangka kembali pulih sepenuhnya pada hari Isnin, 18 Julai 2011.

Insiden yang berlaku adalah sepenuhnya berpunca dari kesalahan pihak ketiga. Sebarang perkembangan terbaharu akan dimaklumkan dari masa ke masa.

KTM Berhad memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB  di 1-300-88-5862 atau laman sesawangwww.ktmb.com.my.

Sumber: Laman web rasmi KTMB (www.ktmb.com.my)

Pengumuman LANDASAN: Jadual KTM Intercity

Kepada semua pengguna LANDASAN,

Anda kini dapat menyemak jadual perjalanan KTM Intercity mengikut laluan (seperti Ekspres Rakyat, Ekspres Langkawi dan lain-lain).

Jadual ini hanya AKAN BERKUAT KUASA PADA 1 JULAI 2011.

Pihak LANDASAN kini dalam proses mengemas kini jadual perjalanan mengikut stesen (seperti yang terpapar mengikut ‘page’ stesen keretapi. Selain dari itu, kotak maklumat asas stesen (bukan jadual perjalanan) juga akan dikemas kini.

Tempahan tiket KTM Intercity secara dalam talian (online) melalui e-Ticket

Berita baik untuk semua:

Anda kini dapat membuat tempahan tiket KTM Intercity secara dalam talian melalui laman e-Ticket KTMB yang boleh dilawati dengan menekan butang Ticket Online di laman web rasmi KTMB, www.ktmb.com.my.

Setelah sekian lama menunggu.

Laman e-Ticket boleh dilawati di sini: pautan

 

Pembetulan / penambahan maklumat

LANDASAN mengandungi beratus-ratus laman yang memaparkan maklumat untuk kegunaan anda. Oleh itu, ada antara laman yang tidak lengkap atau mungkin mengandungi kesalahan. Pihak LANDASAN sentiasa berusaha untuk memastikan maklumat yang dipaparkan adalah tepat dan terkini. Sekiranya anda mendapati ada maklumat yang boleh anda tambah atau betulkan, sila maklumkan LANDASAN melalui laman “Hubungi kami”

Anda ada soalan untuk ditanya?

Sebelum meninggalkan soalan anda di ruangan komen, pihak LANDASAN ingin mengesyorkan anda untuk membaca halaman “Soalan Lazim (FAQ)” kami dahulu.

Dikemas kini pada 27 Julai 2012.

Jadual perjalanan KTM Intercity terbaru – berkuatkuasa 01 Mac 2011

KTM Intercity telah beroperasi menggunakan jadual perjalanan terbaru berkuatkuasa 01 Mac 2011.

Jadual perjalanan di LANDASAN akan dikemas kini mengikut jadual semasa. Buat masa sekarang sila klik pautan di bawah untuk mendapatkan jadual perjalanan terbaru KTM Intercity.

kemas kini 19 Oktober 2012: Jadual perjalanan KTM Intercity

Pengumuman LANDASAN: Jadual perjalanan dan maklumat stesen dikemas kini

Anda kini boleh merujuk jadual perjalanan, waktu tiba dan berlepas tren bagi sektor Pantai Timur. Maklumat stesen bagi kebanyakan stesen juga telah LANDASAN catatkan di page stesen masing masing.

Pada kesempatan ini LANDASAN ingin mengucapkan selamat Tahun Baru Cina kepada kaum Cina, terutamanya di Malaysia.

Selamat menggunakan perkhidmatan KTM Intercity!

STATUS TERKINI : 1.00 PETANG, 2 FEBRUARI 2011 GANGGUAN PERKHIDMATAN TREN KTM INTERCITY DI SEKTOR SELATAN DAN PANTAI TIMUR

– berita ini disalin daripada laman web rasmi KTMB (www.ktmb.com.my)

Merujuk kepada situasi banjir dan tanah runtuh yang berlaku di beberapa kawasan laluan perkhidmatan kereta api di sektor Selatan dan pantai Timur sejak 30 Januari 2011 yang lalu, berikut merupakan perkembangan terkini sehingga jam 1.00 petang ini (2 Februari 2011).

Perkhidmatan yang dibatalkan untuk hari ini ialah:
1. Ekspres Sinaran Selatan (No.13) Sentral Kuala Lumpur – Singapura
2. Shuttle (No. 61 & 64) Gemas – Singapura – Gemas

Perkhidmatan – perkhidmatan di bawah telah dijadualkan semula laluan perjalanannya:
1. Ekspres Rakyat (No. 1 & 2) Butterworth – Singapura – Butterworth :
     Perkhidmatan adalah dari Butterworth – Sentral Kuala Lumpur – Butterworth sahaja
2. Ekspres Sinaran Selatan (No. 12) Singapura – Sentral Kuala Lumpur :
     Perkhidmatan adalah dari Singapura ke Labis sahaja
3. Ekspres Sinaran Timur (No. 14 & 15) Singapura – Tumpat – Singapura :
     Perkhidmatan adalah dari Tumpat- Gemas – Tumpat sahaja
4. Ekspres Senandung Sutera (No. 24 & 25) Singapura – Sentral Kuala Lumpur – Singapura :
     Perkhidmatan adalah dari Singapura – Labis – Singapura sahaja.
5. Ekspres Senandung Timuran (No. 26) Singapura – Tumpat :
     Perkhidmatan adalah dari Singapura ke Labis sahaja
6. Ekspres Senandung Timuran (No. 27) Tumpat – Singapura :
Perkhidmatan adalah dari Tumpat ke Triang sahaja
8.  Shuttle (No. 91 & 92) Kuala Lipis – Singapura – Kuala Lipis :
     Perkhidmatan adalah dari Kuala Lipis – Gemas – Kuala Lipis sahaja

Perkhidmatan Ekspres Wau (Sentral Kuala Lumpur – Tumpat – Sentral Kuala Lumpur) dijangka kembali pulih mulai hari ini berdasarkan kerja-kerja pembaik pulihan landasan yang dijangka siap pada jam 8.00 malam hari ini (2 Februari 2011).

 

Kerja-kerja pembaik pulihan landasan telah mula dilaksanakan mulai kelmarin (1 Februari 2011) dan dijangka akan mengambil masa dua hari lagi untuk disiapkan bergantung kepada situasi cuaca semasa di  lokasi.

 

Bagi penumpang yang terjejas akibat pembatalan ini, mereka boleh membuat penukaran tarikh perjalanan atau menuntut pemulangan penuh tiket di kaunter tiket KTM Intercity berhampiran.

 

Pemulangan tambang penuh juga boleh dituntut di kaunter tiket sehingga tarikh hari ini walaupun perkhidmatan Ekspres Senandung Wau sahaja telah pulih hari ini. Tuntutan selepas tarikh 2 Februari 2011 boleh dibuat berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan. 

 

Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke masa.

 

KTM Berhad memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul. Untuk sebarang pertanyaan dan makluman lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTM Berhad di talian 1-300-88-5862.

Dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat, Keretapi Tanah Melayu Berhad
Tarikh : 2 Februari 2011